“Keselamatan dan Kesihatan, Perlu Diutamakan”, ACOSH.

0
1551
presiden ACOSH Balakrishnan A/L Karuppiah
Photo Credit: Mukmin , Scaffolder.info

Balakrishnan A/L Karuppiah adalah Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dalam Industri Pembinaan (ACOSH). Beliau memulakan karier semasa berumur 19 tahun dengan hanya berbekalkan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Pada masa tersebut, keselamatan dan kesihatan pekerja tidak menjadi keutamaan di kawasan industri pembinaan.

Pada awalnya, beliau bekerja dengan Syarikat Tyson Building Corporation dalam pembinaan bangunan Hotel Shangri La, bangunan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Dayabumi.

Beliau bersama-sama 30  orang pekerja india dilatih oleh syarikat Jepun iaitu Shin Khai Construction dan dikenali sebagai riggers. Tiada istilah perancah atau perancahan yang digunakan.

Demi meningkatkan karier, beliau mula menyambung pelajaran untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia semasa berumur 21 tahun. Setelah itu, bermulanya perjalanan hidup beliau dan kini beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja daripada Universiti Malaya.

Kesedaran tentang pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerja di kawasan pembinaan terdetik sewaktu beliau bekerja dalam projek binaan bangunan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di Putrajaya. Semasa kerja-kerja dijalankan, kadar kemalangan dan kematian sangat tinggi dan tiada pihak yang mengambil tindakan berhubung perkara ini.

Disebabkan itu, tercetusnya idea untuk menubuhkan satu persatuan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja. Bermula dari kumpulan yang sangat kecil, dan akhirnya mendapat sambutan dan sokongan daripada pekerja industri binaan, semangat beliau untuk terus tekad menubuhkan persatuan ini semakin berkobar-kobar. Lalu beliau mula mendaftarkan persatuan dan bermulanya perjuangan ACOSH untuk memberi khidmat nasihat tentang keselamatan dan kesihatan pekerja di kawasan pembinaan.

ACOSH pada awalnya ditubuhkan untuk memberi khidmat nasihat dan informasi tentang keselamatan di kawasan perindustrian pembinaan bangunan.  Namun kini, Acosh telah berkembang pesat dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kemudahan kepada mereka yang terlibat dalam industri perancah.  Visi Acosh adalah mengetuai badan  NGO bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian dalam industri pembinaan khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

ACOSH mendapat sokongan daripada Kementerian Sumber Manusia (MOHR) dan PERKESO. Misi ACOSH  adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan pekerja di kawasan perindustrian pembinaan.

Menurut beliau, sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam industri ini,  MS1462 amat perlu dilaksanakan dan diperkuatkuasa penggunaannya. Dengan adanya MS1462, semua kontraktor perlu mematuhi standard ketebalan besi yang diarahkan dan diluluskan oleh SIRIM. Namun disebabkan kenaikan harga keluli, terdapat segelintir pemaju telah mengurangkan ketebalan keluli daripada 2.5mm kepada 1.8mm bagi mengurangkan kos. Kerajaan kini sedang bergiat dalam memastikan semua produk mematuhi standard yang ditetapkan. Produk yang tidak mematuhi piawaian keselamatan akan dimansuhkan secara berperingkat.

Selain itu, beliau juga berpandangan agar Perakuan Pematuhan Standard (PPS) daripada SIRIM perlu diwajibkan kepada semua pengeluar produk. Setiap pengeluar perlu mengemukakan sijil yang telah diluluskan oleh Pegawai Keselamatan daripada Kementerian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (SIRIM). Dengan adanya PPS, setiap produk perlu dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum ianya dikeluarkan bagi memastikan keselamatan di kawasan pembinaan. Sekiranya setiap produk yang dikeluarkan mengikut standard PPS, formwork  dan shoring yang dibina tidak akan mudah runtuh dan dapat memberi kestabilan yang baik.

Berada dalam industri perancah selama 25 tahun, beliau menyuarakan rasa kecewa dengan pemaju pada masa kini. Pemaju hanya mementingkan keuntungan semata-mata, tanpa memikirkan keselamatan pekerja. Beliau merasa sangat sedih melihat banyak kemalangan yang meragut nyawa dan tiada tindakan yang sewajarnya,

Beliau berharap agar semua pihak yang berkaitan dapat berkerjasama dalam menjaga keselamatan dan perlindungan pekerja di kawasan industri pembinaan. Kerajaan perlu mengambil tindakan dalam memainkan peranan dengan menguatkuasa spesifikasi, kualiti dan keselamatan produk yang digunakan dalam industri perancah. Tindakan tegas perlu diambil  ke atas pemaju-pemaju yang masih menggunakan produk yang tidak mengikut standard yang ditetapkan oleh SIRIM dan perlu dimansuhkan dengan segera. Ini demi menjaga keselamatan pekerja dan juga orang awam yang melalui kawasan pembinaan bangunan.

“Jadilah negara yang maju dan harmoni serta aman untuk dilawati. Pekerja dapat bekerja dengan aman, secara tidak langsung dapat menaiktaraf ekonomi negara” ulas beliau sebelum menutupi wawancara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

4 + 13 =